HAMPA – Malaysia gagal ke separuh akhir Sukan SEA ke-30

MANILA, 4 Dis – Skuad bola sepak Malaysia gagal ke peringkat separuh akhir apabila tewas kepada Kemboja 1-3 pada Sukan SEA ke-30.

laporan Eksklusif Oleh R. Vikneswaran

MANILA, 4 Dis — Sejarah hitam tercatat dalam diari bola sepak Malaysia apabila skuad negara buat pertama kali tewas kepada Kemboja dengan jaringan 1-3 pada temasya Sukan SEA ke-30, sekali gus skuad negara gagal ke separuh akhir hari ini.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan A di Stadium Memorial Rizal di sini, skuad bawah 22 tahun (B-22) negara kendalian Datuk Ong Kim Swee turun dengan misi wajib menang tetapi gagal menunjukkan semangat juang yang diperlukan serta memperagakan aksi hambar.

Malah kekalahan di tangan Kemboja itu turut menyambung detik malang Malaysia pada temasya dwitahunan itu apabila dimalukan oleh Filipina 0-1 pada saingan peringkat kumpulan sebelum ini.

Keputusan tersebut menyaksikan Kemboja mengiringi juara kumpulan, Myanmar ke separuh akhir walaupun Filipina membelasah Timor Leste 6-1 dalam satu lagi aksi kumpulan yang berlangsung serentak.

Kemboja, yang begitu bersemangat memburu kemenangan besar, mampu mengawal permainan dan membaca rentak lawanan pada babak pertama tanpa membuahkan sebarang jaringan.

Pada babak pertama, Malaysia mempunyai peluang untuk membuka tirai seawal minit kelapan, tetapi pemain pertahanan Kemboja berjaya menyambar bola sebelum penyerang negara, Luqman Hakim Shamsudin membuat percubaan.

Malaysia kemudian dihadiahkan sepakan percuma apabila Nik Akif Syahiran Nik Mat dikasari di hadapan kotak penalti, namun sepakan pemain tengah berusia 20 tahun itu tersasar ke atas.

Bagaimanapun, Kemboja berjaya membuka jaringan menerusi In Sodavid pada minit ke-56 akibat kealpaan barisan pertahanan negara yang gagal mengawal bola sepakan penjuru.

Belum sedar dari kejutan itu, Kemboja sekali lagi menggegarkan gawang negara, kali ini menerusi Sieng Chanthea dua minit kemudian, manakala Keo Sokpheng menamatkan buruan gol Kemboja pada minit ke-68.

Tersentap dengan keputusan itu, anak-anak buah Kim Swee memperkemaskan corak perlawanan untuk mengurang defisit menerusi pemain gantian, Quentan Chang pada minit ke-89.

Selepas kesemua empat perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia menduduki tempat keempat dengan empat mata, manakala Myanmar berada di kedudukan teratas dengan 10 mata, diikuti Kemboja dan Filipina dengan tujuh mata, tetapi Kemboja memiliki kelebihan jaringan.

Malaysia memulakan kempen dengan keputusan seri 1-1 menentang Myanmar, sebelum tewas 0-1 kepada Filipina dan bangkit menewaskan Timor Leste 4-0.

Keputusan itu menyaksikan episod Sukan SEA 1991 Manila berulang, apabila pada edisi itu juga Malaysia tewas 0-1 kepada Filipina di venue yang sama untuk tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia meraih ibu segala pingat emas itu adalah pada edisi 2011 di Indonesia, juga di bawah kendalian Kim Swee, manakala pada edisi lepas di Kuala Lumpur, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan perak apabila tewas kepada Thailand pada final.

— BERNAMA

Leave a Reply

.